IPOH:Seramai 2,168 penduduk di sekitar Zon B dan Zon C, Taman Meru 2C di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula semalam, memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata mereka juga mematuhi arahan pihak berkuasa kesihatan dengan melakukan ujian calitan saringan COVID-19 sejak Ahad lepas.

Beliau berkata susulan PKPD itu, pihaknya melaksanakan empat sekatan jalan raya (SJR) bagi mengawal pergerakan penduduk iaitu di Persiaran Taman Meru 28, Persiaran Taman Meru 30 dan Persiaran Taman Meru 1, yang merupakan jalan utama ke Zon C.

"Selain sekatan jalan raya, pihak polis menggerakkan unit kereta peronda polis (MPV) dan kawalan rondaan berjalan kaki di kedua-dua lokaliti yang melibatkan 572 buah rumah," katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan terbabit di sini semalam.

BACA: Ini kawasan baharu dikenakan PKPD di Sabah dan Ipoh

A.Asmadi berkata sejumlah 162 anggota beruniform ditugaskan secara bergilir-gilir membabitkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Beliau berkata selain itu, anggota Kawasan Rukun Tetangga bersama seorang penduduk di setiap lorong kawasan perumahan tersebut bertindak sebagai mata dan telinga pihak polis dalam melakukan pemantauan.

"Kita tidak akan membenarkan mana-mana penduduk keluar dari kawasan PKPD kecuali kes-kes kecemasan dengan kebenaran yang akan saya berikan.

"Beri kerjasama, duduk di rumah, jangan keluar sesuka hati," katanya.

Sehingga 16 Nov lepas, sebanyak 938 ujian saringan dilaksanakan di kawasan terbabit dan 76 kes positif COVID-19 telah dikesan.

-- BERNAMA