Satu majlis solat hajat menolak fitnah dan bacaan Yasin diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Bukit Megawati, Seksyen 7 di sini, malam ini.

Ia berkaitan dengan penyebaran sebuah klip video hubungan intim dikaitkan dengan seorang menteri yang diperkatakan umum sejak semalam.

Majlis itu dimulakan pada jam 7 malam dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan Ustaz Khairi Mohd Nor, sebelum diteruskan dengan bacaan Yasin, solat Isyak dan solat hajat.

Ia dihadiri ahli-ahli dan kepimpinan PKR seperti Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Hilman Idham; Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dan Adun Port Klang, Azmizam Zaman Huri.

Video yang mengaitkan seorang menteri dari PKR itu tersebar di pelbagai platform sejak semalam.

Hari ini, seorang lelaki bernama Muhammad Haziq Aziz membuat pengakuan bahawa dia merupakan individu dalam video yang didakwa bersama menteri itu.

Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang terpalit dengan video itu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.

Mohamed Azmin juga mendakwa siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasinya dan menjatuhkan karier politik beliau.