Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak digesa agar segera memanggil sidang mesyuarat khas Dewan Rakyat bagi membahaskan isu 1MDB dengan lebih terperinci demi kepentingan rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan meminta Najib agar memaklumkan kepada Yang Di-Pertua Dewan Rakyat berhubung perkara ini agar kemelut ini dapat dileraikan.

“Saya berharap agar Perdana Menteri hadir memberikan penjelasan yang konkrit termasuk pembentangan hasil forensik audit kewangan 1MDB. Isu 1MDB ini sangat penting memandangkan ia berhadapan dengan skandal kewangan yang besar yang turut melibatkan kepentingan rakyat.

“Setelah pihak Lembaga Tabung Haji (LTH) mengesahkan dakwaan pembelian plot tanah Tun Razak Exchange (TRX), ini menunjukkan bahawa pihak 1MDB terpaksa menggunakan tabungan awam untuk menyelamatkan kegagalan kewangan 1MDB,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Nasrudin merujuk kepada cadangan pembelian Lot B.10.15-RT di TRX daripada 1MDB Real Estate Sdn Bhd dan subsidiarinya KLIFD Sdn Bhd.

“Bagi pihak rakyat, kita tidak boleh mengizinkan perkara ini berlaku walaupun pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji berpendapat sebaliknya.

“Kegagalan kewangan dan kehilangan dana 1MDB adalah berpunca daripada ketirisan dan persoalan integriti 1MDB,” katanya.

Menurut Nasrudin, 1MDB sedang berdepan dengan siasatan daripada pihak Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

Maka, skandal kewangan 1MDB yang teruk boleh menjejaskan projek mega TRX dan ia akan turut mengheret LTH ke kancah risiko yang lebih besar. Tambahan pula, pelabur-pelabur asing turut mempertimbangkan semula pelaburan mereka di TRX.

“Saya melihat pelaburan LTH di TRX adalah sesuatu yang tidak wajar memandangkan 1MDB terpalit dengan skandal kewangan yang besar,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Wira Perkasa Malaysia Irwan Fahmi Ideris berasa duka cita dan kesal dengan tindakan Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez yang membenarkan Tabung Haji terlibat dalam urusan pembelian tanah 1MDB.

“Perkara ini telah mengundang kritikan dan kemarahan rakyat kepada Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez apabila beliau menafikan dakwaan blogger di laman sosial beliau.

“Setelah isu ini semakin hangat diperkatakan akhirnya beliau menjelaskan bahawa Tabung Haji telah membeli satu lot tanah 1MDB. Tindakan seperti ini tidak harus berlaku,” katanya yang turut meragui kelayakan Abdul Azeez mempengerusikan Tabung Haji.

Menurut Irwan, Tabung Haji perlu diuruskan dengan telus dan amanah dan jangan kerana perkara seperti ini, rakyat tidak akan percaya lagi kepada Tabung Haji.

“Saya menggesa supaya perkara ini harus disiasat secara menyeluruh kerana ia telah menimbulkan rasa tidak senang hati kepada semua penyimpan di Tabung Haji,” katanya lagi.