Skip to main content

Malaysia

Polis buru dua lelaki lolos pemeriksaan, rempuh MPV

Tangkap layar video tular memaparkan kereta yang dinaiki dua lelaki melarikan diri di di Jalan Semenyih berhampiran lampu isyarat Kajang Prima pada Jumaat.
Tangkap layar video tular memaparkan kereta yang dinaiki dua lelaki melarikan diri di di Jalan Semenyih berhampiran lampu isyarat Kajang Prima pada Jumaat. - Gambar Sinar Harian
Advertisement

KAJANG: Polis sedang mengesan dua lelaki yang meloloskan diri dengan sebuah kereta selepas cuba diperiksa anggota Unit Kereta Peronda (MPV) di Jalan Semenyih berhampiran lampu isyarat Kajang Prima di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata kejadian berlaku kira-kira 3.15 petang ketika anggota MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menjalankan rondaan di kawasan itu.

Beliau berkata anggota terbabit cuba menjalankan pemeriksaan serta mendapatkan dokumen pengenalan diri daripada dua lelaki yang menaiki sebuah Proton Wira berwarna hijau.

“Kedua-dua individu berkenaan, iaitu pemandu dan penumpang kereta tersebut, kemudian bertindak melarikan diri dengan kenderaan berkenaan menuju ke arah Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata ketika melarikan diri, kereta dipandu suspek melanggar sebuah Perodua Ativa sebelum merempuh MPV polis.

Akibat kejadian itu, kenderaan MPV polis mengalami kerosakan pada bahagian pintu hadapan sebelah kanan, bagaimanapun tiada orang awam atau anggota polis yang cedera,” katanya.

Beliau berkata usaha mengenal pasti dan mengesan kedua-dua suspek sedang dijalankan, termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam), selain keterangan saksi.

Naazron berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Azlan Zulkiflee di talian 017-316 1138 atau mana-mana balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement