GEORGE TOWN: Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian melibatkan lebih 200 orang yang dilaporkan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika solat sunat Aidiladha di surau Taman Pelangi, Juru dekat sini pada 20 Julai lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kertas siasatan kes itu juga telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan dan tindakan selanjutnya.

"Siasatan kes telah selesai dengan seramai 83 warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia 25 hingga 61 tahun ditahan bagi membantu siasatan, namun kesemuanya diberi jaminan polis sementara menunggu keputusan dan tindakan selanjutnya daripada DPP," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohd Suhaily berkata polis menahan seramai 14 individu termasuk lapan wanita, bagi membantu siasatan dipercayai menyertai upacara keagamaan bagi menghormati kematian seorang ahli keluarga mereka, dalam kejadian di Bayan Lepas, dekat sini empat hari lepas.

Katanya selepas menerima maklumat berhubung tindakan sekumpulan individu menjalankan upacara keagamaan itu, polis menjalankan siasatan dan mengenal pasti 24 individu sebelum menahan 14 daripadanya, untuk siasatan lanjut.

"Semua mereka yang ditahan berusia 25 hingga 40 tahun dan merupakan ahli keluarga kepada si mati, sekarang ini kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada DPP untuk arahan selanjutnya," katanya.

Tular sejak semalam video berdurasi 23 saat yang memaparkan lebih 10 individu termasuk kanak-kanak mengadakan satu upacara keagamaan, dipercayai bagi menghormati kematian seorang ahli keluarga mereka di kawasan perumahan berdekatan persimpangan lampu isyarat Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini.

-- BERNAMA