SERIAN: Polis menahan seorang lelaki dan merampas syabu seberat 36 kilogram (kg) bernilai RM1.296 juta semasa menjalankan tugas dalam Op Benteng berhampiran Kampung Sejijak di Jalan Tebedu-Serian, Sabtu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata dalam operasi kira-kira pukul 5 pagi, pasukannya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dari arah Serian menuju ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu apabila ia berpatah balik sebaik tiba dekat dengan kompleks itu.

"Pasukan itu kemudiannya mengejar, sebelum berjaya menahan kenderaan itu di Kilometer 8, dan hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai empat beg yang berisi 36 bungkusan disyaki mengandungi syabu," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata suspek berusia 48 tahun itu ditahan di bawah Seskyen 39B 1952 Akta Dadah Berbahaya (ADB) serta Seksyen 15(1)(a) ADB, dan ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah methamphetamine.

Turut dirampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova, jam tangan jenama Tissot dan wang tunai berjumlah RM572.

Aidi berkata siasatan awal mendapati suspek berkenaan merupakan seorang penghantar yang mendapat upah sebanyak RM2,000 bagi setiap kg dadah yang dihantar kepada warga Indonesia yang tidak dikenali untuk pasaran di negara jiran itu.

Katanya lelaki itu dipercayai menghantar 18 kg bagi setiap transaksi dan telah melakukan empat kali penghantaran sejak April lepas.

"Suspek dipercayai mendapat bekalan dadah dari Miri dan berdasarkan bungkusan dadah yang ditemui itu, ia menyerupai bungkusan dadah yang telah ditemui sebelum ini di Semenanjung Malaysia dan polis tidak menolak kemungkinan ia dari kumpulan yang sama," katanya.

Beliau berkata lelaki itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA