KUALA KANGSAR: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, laporan kejadian itu diterima pada 24 September lalu melibatkan tiga mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Empat.

"Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dipukul empat pelajar Tingkatan Lima.

"Mangsa bagaimanapun telah dibawa mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Kangsar.

"Hasil pemeriksaan 'normal physical finding' yang dijalankan doktor mengesahkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

"Kertas siasatan telah pun dirujuk ke Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak untuk tindakan lanjut.

"Orang ramai bagaimanapun diingatkan supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi yang tidak berasas berkaitan kejadian ini," katanya.

Terdahulu, tular di laman Instagram pada Jumaat yang memaparkan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian