Politik tidak harus dijadikan alat untuk memecahbelahkan orang Melayu selain dijadikan bahan jual beli untuk mendapatkan sokongan mana-mana pihak.

Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (iLMU) Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, politik seharusnya menjadi sistem mentadbir negara menjadi lebih baik dan merapatkan persaudaraan sesama Islam.

"Sayangnya ada pihak yang berjual-beli atas nama politik dan agama untuk mendapatkan sokongan malah ada juga yang menolak agama untuk maksud sama.

"Ada dua penggunaan agama di sini namun sebagai umat Islam, kita perlu menonjolkan agama sebagai sistem terbaik di dalam pentadbiran dan politik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Fathul mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyeru orang Melayu Islam untuk bersatu sekiranya mahu terus mentadbir negara.

Kata Dr Mahathir, walaupun orang Melayu Islam merupakan majoriti di negara ini namun kaum ini dilihat berpecah kerana wujudnya beberapa parti politik mewakilinya seperti UMNO, PAS dan PKR.

BACA: Krisis yang melanda UMNO perlu ditangani pemimpin parti sendiri - Bung Mokhtar

BACA: Tun M lebih sesuai jadi penasihat daripada pengkritik kerajaan - NGO


Dalam pada itu jelas Dr Fathul, penggunaan agama Islam seharusnya dipraktikkan sepenuhnya di dalam pentadbiran dan diterjemahkan dalam isu melibatkan negara.

"Ia juga akan mencipta muhasabah, cinta perpaduan, hormat menghormati dan sokongan kaum lain kepada Islam," ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, kabinet sedang meneliti sebuah pelan ke arah mewujudkan suasana negara yang kondusif yang akan menggalakkan penyatuan nasional melalui perpaduan dan konsesus.

Menurut Najib, idea pelan itu sudah diberikan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 namun banyak pihak pada ketika itu menolaknya termasuk pembangkang yang mempertikaikan keputusan pilihan raya tersebut.