Mohd Zawawi Ahmad Mughni menafikan dakwaan bahawa beliau melobi dirinya sendiri sehingga berjaya menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Sebaliknya, rakan-rakan beliau yang mencadangkan namanya dicalonkan untuk mewakili parti itu.

"Saya tidak pernah dalam hidup saya melobi diri sendiri. Kawan-kawanlah yang mengajukan kepada pihak berkenaan. Atas pertimbangan dan berfikir panjang, maka saya bersetuju (menjadi calon) dan ia bukan satu keputusan mudah," katanya semasa ditemui media selepas pelancaran Program Menyantuni dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat Menteri Besar Selangor Ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Padang Rakyat, Jalan Kebun, di sini hari ini.

Mohd Zawawi mengakui ada pihak mungkin tidak berpuashati dengan pencalonannya.

Bagaimanapun katanya, perkara telah dapat diatasi hasil semangat kesepakatan dalam parti.

"Saya ada komitmen pada masyarakat di sini, jadi atas sokongan itu saya bergerak ke depan. Dalam persaingan politik, pihak yang tidak berpuashati ini biasa, namun dalam perjumpaan-perjumpaan seperti malam tadi, mereka akhirnya menyokong. Siapa yang dipilih mereka akan sokong,"kata beliau.

Beliau dalam pada itu tidak dapat mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau adalah calon pilihan kedua.

"Itu saya tidak tahu sebab calon yang dipilih ramai. Jadi masing-masing menawarkan diri. Yang positifnya ialah PKR tidak ketandusan pemimpin. Ramai yang layak untuk dipilih, dan kita pilih yang terbaik," ujarnya.

Tambahnya, bencana banjir dan kemudahan awam adalah antara isu yang akan diberi tumpuan semasa berkempen pada PRK Sungai Kandis.

Pemilihan Mohd Zawawi itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Pelancaran Jentera PKR di Padang Rakyat, Jalan Kebun pada Khamis.