KLANG: Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengumumkan senarai penuh calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Isnin ini.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu bagaimanapun tidak memaklumkan lokasi dan masa pengumuman tersebut akan dibuat.

"Itu sebelah malamlah, kita akan umum (senarai calon) 24 hari bulan ini barang kali dan kita akan umum semua sekali (semua negeri terlibat PRN), tempat belum tahu lagi, belum dipilih," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Klang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi AMANAH Selangor Izham Hashim mengesahkan parti itu akan bertanding di sembilan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos.

-- BERNAMA