MASJID TANAH: Semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah kerusi panas.

Demikian jelas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung persediaan parti itu bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.

"Saya anggap semua kawasan adalah panas, semua kawasan fokus. Biarpun kita mengenal pasti kawasan fokus, tentunya kita berpegang apa yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO, iaitu calon-calon bagi mana mana pilihan raya dibincangkan di peringkat Bahagian UMNO dan kemudian mengemukakannya kepada kepimpinan atasan untuk ditandatangani watikah," jelasnya.

Jelas Ahmad Zahid, jentera pilihan raya UMNO dan BN telah digerakkan di semua kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN Melaka.

Ujar Presiden UMNO itu, PRN Melaka bakal menyaksikan satu landskap politik baharu yang dilakarkan berdasarkan situasi politik semasa.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Jentera UMNO PRN Melaka di Masjid Tanah pada Selasa.

Turut hadir dalam majlis itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.