BATU PAHAT: Semua parti politik yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu mengamalkan norma baharu semasa berkempen meraih undi bagi menyekat penularan COVID-19, kata Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata meskipun prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya belum diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semua pihak perlu bersedia mengubah corak berkempen mengikut norma baharu berikutan negara masih berhadapan dengan pandemik tersebut.

"Saya tidak mahu membuat sebarang ramalan selagi saya belum nampak SOP yang dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan dikeluarkan oleh SPR, jadi tidak elok untuk saya buat sebarang spekulasi.

"Sudah tentu dengan keadaan kita berdepan situasi pandemik COVID-19, satu norma baharu dan cara kita berkempen juga kena berubah, tidak seperti dahulu kita boleh berkumpul beramai-ramai, bersentuhan antara satu sama lain," katanya pada sidang media selepas penyerahan sumbangan kepada sekolah-sekolah di Parlimen Ayer Hitam di Dewan Komuniti Ayer Hitam di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada penetapan SOP yang melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya bermula 25 Okt lepas hingga 27 Nov depan dijangka mengganggu persiapan PRN Melaka.

SPR telah menetapkan tarikh penamaan untuk PRN Melaka pada 8 Nov, diikuti undi awal pada 16 Nov dan mengundi pada 20 Nov.

-- BERNAMA