Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu rakyat di negeri ini menganggap Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hujung bulan ini sebagai sesuatu yang serius.

Sambil berseloroh, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, PRN Sabah itu juga bukan hari raya.

"Ini bukan hari raya tetapi pilihan raya. Yang mana tuan-tuan dan puan-puan memilih siapa wakil rakyat kita.

"Wakil rakyat ini yang sama-sama membangunkan negeri ini dan rakyatnya," katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor di Kampung Landung Ayang di sini pada Selasa.

Mohd Shafie menjelaskan, sepanjang 26 bulan kerajaan Warisan mentadbir negeri ini, 20 daripada 17 Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah diluluskan.

Katanya, beliau mewakili kerajaan negeri berunding dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk mengenai isu royalti minyak dan gas.

"Tun (Dr Mahathir) beritahu saya jangan ambil 20 peratus tetapi tukarkan kepada pemegang saham Petronas. Ini semua yang kerajaan Warisan lakukan untuk rakyat dan pembangunan negeri ini," katanya.