KUANTAN: Tiga terowong projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan jumlah panjang 1,309 meter di daerah Bentong berjaya ditembusi dalam satu hari menjadikan 30 terowong di sepanjang jajaran ECRL selesai dengan kerja-kerja pengorekan setakat ini.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tiga terowong tersebut adalah terowong Bentong 1 sepanjang 561 meter, terowong Kampung Lentang 1 (270 meter) dan terowong Kampung Lentang 2 (478 meter).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata projek ECRL telah mencapai kejayaan baharu dengan 30 penembusan terowong yang mana pencapaian tersebut dicapai melalui teknologi pengorekan terowong yang canggih dan kerjasama erat pasukan ECRL di jajaran sepanjang 665 kilometer (km).

"Kami optimis pembinaan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke ITT (Terminal Pengangkutan Bersepadu) Gombak akan siap pada Disember 2026 memandangkan kerja-kerja pengorekan terowong yang agak mencabar dan kebergantungan keadaan geologi telah berjalan dengan lancar mengikut jadual," katanya dalam kenyataan itu.

Mengenai kemajuan projek tersebut, beliau berkata ECRL secara keseluruhan telah mencapai kemajuan sebanyak 62.40 peratus setakat Februari lepas yang disokong oleh 23,000 pekerja di kira-kira 1,900 tapak pembinaan di sepanjang jajarannya di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Menurut kenyataan itu pembinaan terowong ECRL di daerah Bentong akan membolehkan landasan kereta api mematuhi kecerunan maksimumnya sebanyak 0.9 peratus dan mengurangkan penebangan hutan terbuka serta meminimumkan kesan terhadap hidupan liar di kawasan tersebut.

Projek ECRL melibatkan pembinaan sebanyak 41 terowong dengan jarak keseluruhan kira-kira 69km di sepanjang jajarannya dengan 21 terowong terletak di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan SeksyenB (Dungun-Mentakab), manakala 20 terowong di Seksyen C (Mentakab-Port Klang).

-- BERNAMA