KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd sedang mempelbagaikan operasi dan aliran pendapatannya melalui penerokaan peluang di dalam dan di luar ekosistem automotif dengan hasil meningkat secara eksponen "daripada kurang RM1 juta pada 2021 kepada 19 kali ganda pada akhir 2023."

Dalam satu kenyataan, pembuat kereta nasional itu berkata peneraju usaha itu ialah Proton Global Services (PGS), anak syarikat milik penuh Proton Edar.

"Ditubuhkan pada 2021 dengan hanya satu kedai makanan dan minuman serta barangan, PGS telah meluaskan skop operasinya dengan kini merangkumi enam bidang utama, iaitu gaya hidup, kejuruteraan, latihan, tenaga baharu, logistik dan R3 Motorsports.

"Bagi pembeli dan peminat Proton, bidang perniagaan yang paling ketara ialah bahagian gaya hidup dan R3 Motorsports," kata kenyataan itu.

Bahagian gaya hidup menguruskan Proton Cafe dan menjual barangan Proton manakala bahagian R3 Motorsports menumpukan kepada pembangunan varian prestasi dan menjalankan aktiviti perlumbaan Proton, katanya.

Proton berkata bahagian tenaga baharu pula menumpukan kepada pengenalan tenaga yang boleh diperbaharui untuk membantu penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat sambil menjual penyelesaian bagi penjimatan tenaga.

"Inisiatif yang dijalankan termasuk penjualan dan pemasangan sel fotovoltaik solar kepada pengedar dan vendor Proton serta bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membina bukti konsep bagi pengecasan kenderaan elektrik (EV) mudah alih," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PGS Lee Yeet Chuan berkata perniagaan PGS mendapat manfaat daripada minat yang kuat oleh rakyat Malaysia terhadap Proton.

"Dengan begitu banyak sejarah di sebalik syarikat, kami mempunyai peluang untuk membina hubungan yang lebih erat dengan pemilik Proton sambil menawarkan produk dan perkhidmatan premium kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata pembuat kereta itu mendapat manfaat daripada PGS.

"Dari sudut kos, syarikat kini mampu mengawal kos operasi dengan lebih baik manakala operasi jualan komersial PGS membolehkan kami memanfaatkan kekuatan rangkaian pengedar dan imej jenama kami serta memaksimumkan peluang hasil daripada jualan barangan, makanan dan minuman serta minyak pelincir berprestasi tinggi.

"Perancangan telah dilakukan untuk mengembangkan penggunaan tenaga bersih yang boleh diperbaharui untuk Proton dan vendor kami sementara kerja sedang dijalankan di antara PGS dan rakan kejuruteraannya untuk membangunkan penyelesaian penyimpanan tenaga dan pengecasan yang penting untuk model-model Proton di masa hadapan," tambahnya.

Selain itu beliau berkata ditambah dengan inisiatif untuk menyokong latihan bagi pekerja industri automotif serta perniagaan logistik yang semakin berkembang, syarikat itu membayangkan PGS untuk terus membuat sumbangan yang konsisten kepada keuntungan Proton pada masa hadapan.

-- BERNAMA