Tiada siapa dapat menghalang kepesatan teknologi pada zaman ini yang kewujudannya bukan sahaja melengkapi jentera industri pengeluaran, malah sampai ke peranti yang dipegang di tangan setiap pengguna.

Menjelang tahun 2020, penggunaan peranti mudah alih, tablet dan komputer peribadi akan meningkat.

Peningkatan tersebut turut menyumbang kepada perubahan model perniagaan yang menggunakan Internet selain menjimatkan kos pengurusan sehingga 45 peratus dalam operasi syarikat.

Perkara itu disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika beliau menjadi tetamu program siaran langsung Analisis Awani semalam.

“(Ciri) hyperconnectivity atau keterkaitan yang melampau dalam teknologi ini memberikan manfaat kepada pemain industri dan juga pengguna.

"Semua itu disebut sebagai internet of things iaitu kamera, telefon dan semuanya disambungkan kepada Internet. Jadi ini adalah merupakan fenomena baharu yang memberikan satu ledakan baharu dari segi data, maklumat dan sebagainya,” ujar beliau.

Ahmad Shabery ketika menjadi tetamu program Analisis Awani semalam.
Katanya, dengan ledakan penggunaan Internet ini, syarikat berpeluang menggunakan big data sebagai satu kajian dan penyelidikan bagi memajukan perniagaan mereka kerana ia berlaku dalam masa yang pantas berbanding dahulu.

“Keperluan data ini diperlukan oleh rakyat Malaysia selain infrastruktur.

“Ia membolehkan hasrat dicapai bukan sahaja untuk perhubungan tetapi juga memberi pilihan kepada pengguna dalam pencapaian maklumat,” kata Ahmad Shabery.

Kajian menunjukkan, kira-kira 10 bilion peranti mudah alih dijangka disambung ke Internet antara tahun 2011 hingga 2016 dan menjangkau sehingga 30 billion pada 2030.