KUCHING: Purata angka korban harian akibat COVID-19 di Sarawak meningkat mendadak tiga kali ganda dalam tempoh tiga bulan dengan tiga kes dilaporkan sehari pada Mei berbanding sepanjang Mac lepas.

Menurut Pemangku Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Rosemawati Ariffin, 29 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan sepanjang Mac lalu dengan purata satu kes sehari, namun meningkat kepada 69 kes pada bulan berikutnya atau purata dua kematian sehari.

"Bagi Mei (sehingga 24 Mei 2021), sebanyak 74 kes kematian telah dilaporkan (purata tiga kematian sehari). Pada hari ini, 83 kes COVID-19 lagi masih dalam keadaan kritikal di wad ICU (Unit Rawatan Rapi) termasuk 32 kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes COVID-19 di Sarawak terus menunjukkan peningkatan melebihi 300 kes setiap hari sejak 11 April lepas dengan purata harian 528 kes. Semalam sahaja, Sarawak merekodkan 530 kes baharu, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes 42,813 setakat ini.

"Peningkatan kes harian COVID-19 yang ketara telah dikesan selepas sambutan Aidilfitri iaitu sejak 9 Mei sehingga 15 Mei, 3,272 kes telah dilaporkan. Jumlah kes telah meningkat sebanyak 3,642 kes dengan purata 596 kes sehari pada minggu berikutnya (16 Mei hingga 22 Mei)," katanya.

Dr Rosemawati berkata kebanyakan kes baru yang dikesan dalam tempoh seminggu ini merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang melibatkan aktiviti kunjung-mengunjung semasa Aidilfitri yang lepas.

Antara kluster yang terlibat adalah Kluster Taman Sourabaya Indah dan Kluster Jalan Jambatan Gantung di Daerah Kuching.

"Daerah Kabong (di Bahagian Betong) juga melaporkan peningkatan kes COVID-19 melalui jangkitan dalam kalangan saudara-mara yang berkunjung semasa Hari Raya, justeru mengubah status daerah ini kepada zon kuning," katanya.

Dengan kapasiti katil ICU di Sarawak sekarang mencapai paras kritikal, beliau meminta semua penduduk agar kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan penting dan tidak merentas daerah untuk balik kampung bersempena cuti sambutan Hari Gawai Dayak kali ini.

"Sayangilah keluarga dan lindungi warga tua di kampung atau rumah panjang dengan tidak membawa balik virus COVID-19 yang boleh membawa maut ini. Pengorbanan yang dibuat sempena sambutan perayaan kali ini adalah untuk melindungi diri anda dan orang yang tersayang," katanya.

-- BERNAMA