LONDON: Raja Britain, Raja Charles III kembali menjalankan tugas awam selepas kesan positif rawatan kansernya.

Raja Charles telah menerima rawatan sebagai pesakit luar sejak awal Februari dan sumber mengatakan bahawa walaupun mendapat perkhabaran berita baik itu, raja masih mempunyai kanser dan akan terus dirawat untuk penyakit yang tidak didedahkan itu.

Raja Charles dan Ratu Camilla akan melawat pusat rawatan kanser pada Selasa untuk bertemu pakar perubatan dan pesakit.

Acara itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan diagnosis awal dan untuk menyerlahkan penyelidikan inovatif, disokong oleh Cancer Research UK, berlangsung di hospital itu.

Jadual acara Raja Charles bukan merupakan program musim panas yang lengkap dan pengesahan kehadiran akan diumumkan lebih dekat pada masanya dan "tertakluk kepada nasihat doktor" dengan "penyesuaian dibuat jika perlu untuk meminimumkan risiko" kepada pemulihannya, lapor PA Media.

Difahami cuaca yang lebih panas akan membolehkan acara dianjurkan di luar dan mengurangkan risiko yang dihadapi oleh pesakit kanser lain.

Pada Januari, Raja Charles menghabiskan tiga malam di hospital untuk prosedur ke atas prostat yang membesar, semasa itu - bukan kanser prostat - ditemui.

Selepas diagnosisnya diumumkan pada 6 Feb, beliau menangguhkan semua penglibatan orang ramai tetapi meneruskan tugasnya sebagai ketua negara di sebalik tembok istana, menerima kunjungan dan mengendalikan mesyuarat Majlis Privy.

Sementara itu, William, Putera Wales akan menjalankan penglibatan di Timur Laut pada Selasa, melawat firma finalis untuk anugerah Prize Earthshot yang membuat bahan binaan rendah karbon di Seaham dan merasmikan James's Place - sebuah pusat yang menawarkan rawatan percuma, menyelamatkan nyawa kepada lelaki yang bertindak membunuh diri di Newcastle.

Potret Putera William dan Kate, Puteri Wales, yang tidak kelihatan sebelum ini, dikeluarkan oleh Istana Kensington pada hari Isnin sempena sambutan ulang tahun perkahwinan ke-13 pasangan diraja itu.

Kate yang sedang menjalani kemoterapi untuk kanser yang tidak didedahkan, berkahwin dengan pewaris takhta Britain, Putera William pada 2011.

Foto oleh Millie Pilkington - yang merakamkan gambar terbaru Raja dan Ratu untuk menandakan kepulangan Charles ke tugas awam - menampilkan William dan Kate pada hari perkahwinan mereka.

Imej hitam putih itu disiarkan di akaun media sosial Wales pada Isnin, dengan kapsyen "13 tahun yang lalu hari ini!"

-- BERNAMA