KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa berhubung rakaman audio yang didakwa memaparkan perbualan antara beliau dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata Anwar diminta hadir ke pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di sini selepas pihaknya mendapat perintah untuk menyiasat daripada pendakwa raya mengikut peruntukan di bawah Seksyen 108 (2 ) Kanun Tatacara Jenayah.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata tindakan memanggil Presiden PKR itu adalah prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan selain membantu mengenal pasti individu yang membuat rakaman audio serta motif audio yang berdurasi empat minit 17 saat itu disebarkan.

Huzir berkata sebanyak 18 laporan polis diterima daripada 17 orang wakil politik dan seorang individu awam yang mendesak supaya siasatan dijalankan bagi menentukan kesahihan atau mungkin terdapat pihak tidak bertanggungjawab memalsukan audio itu, untuk mencetuskan kegentaran awam serta perasaan tidak harmoni antara kedua-dua parti politik.

Katanya, penularan rakaman audio perbualan itu telah memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat berdasarkan komen di media sosial memandangkan kedua-dua individu tersebut merupakan pemimpin politik yang berpengaruh.

-- BERNAMA