Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sentiasa menggalakkan rakyat Malaysia agar melancong di dalam dan luar negara.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata negara juga optimis mahu menarik lebih ramai pelancong luar ke negara ini melalui inisiatif promosi pelancongan negara dan galakan kepada pemain industri tempatan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran produk pelancongan.

“Fokus kita kini adalah bagi menyemarakkan lagi promosi pelancongan negara dengan inisiatif-inisiatif baharu yang digerakkan agensi berkaitan di bawah kementerian.

“Kita mahu sasaran 30 juta pelancong dengan RM100 bilion pulangan dapat dicapai menjelang tahun 2020 dapat dicapai.

“Saya yakin usaha promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 yang sedang digerakkan ketika ini mampu mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Mengulas laporan sebuah portal berita tempatan berkenaan pelaksanaan levi berlepas ke atas semua penumpang yang meninggalkan lapangan terbang Malaysia bakal memberi kesan kepada kemasukan pelancong, Mohamaddin berkata ia perlu dirujuk kepada rangka kerja pelaksanaan yang dibuat Kementerian Kewangan.

“Pelaksanaan tersebut dijangka dilaksanakan pada 1 Jun 2019 dan saya percaya ia telah mengambil kira implikasi ekonomi negara terutama yang melibatkan sektor pelancongan.”katanya.