KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa membenarkan sebahagian dokumen pernyataan saksi utama dalam perbicaraan kes rasuah projek jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang diserahkan kepada pihak pembelaan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa 31 daripada 108 muka surat pernyataan saksi, bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, relevan dengan kes, bagi memulakan prosiding mencabar kredibiliti ahli perniagaan berusia 64 tahun itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudiannya memohon kepada mahkamah supaya memberikan tempoh sehingga dua minggu, untuk penyediakan dokumen tersebut.

Sementara itu, peguam, Haijan Omar yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang ini berkata, pihak pembelaan juga memerlukan masa untuk meneliti dan membuat persiapan bagi prosiding mencabar kredibiliti saksi.

"Bukan itu sahaja, ia turut membabitkan perkembangan baharu kes, iaitu peguam, Gobind Singh Deo tidak lagi mewakili Guan Eng kerana sudah menjadi sebahagian daripada Kabinet," katanya.

Susulan perkara berkenaan, Azura mengarahkan salinan rakaman percakapan Zarul Ahmad dikemukakan kepada mahkamah untuk diteliti, sebelum diserahkan kepada pembelaan.

Beliau turut mengarahkan, dokumen terbabit diberikan kepada pihak pembelaan pemimpin DAP ini, sebelum sebutan kes pada 17 Januari.

Mahkamah kemudiannya menetapkan prosiding untuk mencabar kredibiliti saksi (Zarul Ahmad), pada 26 Februari depan.

Pada 24 Oktober lalu, pihak pembelaan memohon untuk mendapatkan salinan pernyataan Zarul Ahmad kerana dokumen itu diperlukan bagi membolehkan pihaknya memulakan prosiding mencabar kredibilitinya dan permohonan tersebut, pada 2 November tahun lalu.

Ia bagi menentukan sama ada wujud percanggahan pernyataan Zarul Ahmad, dalam kes penipuan ahli perniagaan, G Gnanaraja di Shah Alam, Selangor dengan kes rasuah dan lot tanah Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkaitan projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion ini membabitkan Ahli Parlimen Bagan ini.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan RM3.3 juta.

Ia bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri negeri itu.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul, sebagai upah bagi projek sama, dan perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Pemimpin itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. - Sinar Harian