Susulan tragedi William, ibu bapa diminta peka dengan persekitaran anak-anak.

Pakar psikologi , Prof Madya Dr Mariani Md Nor menekankan ibu bapa atau penjaga seharusnya memahami dan mengenali psikologi anak-anak terutamanya pada peringkat umur 4 hingga 6 tahun.

Sambil menyifatkan masyarakat kini tidak mengambil iktibar dari pengalaman lalu, Dr Mariani menegaskan ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak bukan sahaja dari segi makan dan minum malah keselamatan.

Pendapat sama disuarakan Naib Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, P.H Wong yang menyeru kerjasama masyarakat setempat dan tidak bergantung kepada pihak berkuasa semata-mata.

Mengulas isu sama, pakar kriminologi, Prof Madya P. Sundramoorthy mencadangkan satu unit khas ditubuhkan pihak berkuasa bagi mengatasi masalah berkaitan.

Beliau antara lain menyarankan kursus berhubung tingkah laku sosial manusia dijadikan silibus mata pelajaran di semua sekolah agar pendidikan tersebut dapat difahami dengan mendalam.