KOTA KINABALU: Sabah tidak membenarkan aktiviti rentas daerah bermula 10 hingga 16 Mei depan.

Walau bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata larangan tersebut terkecuali bagi mereka yang mempunyai urusan kecemasan.

"Dalam tempoh ini, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikategorikan sebagai satu daerah.

"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi mengawal pergerakan rentas daerah semasa tempoh yang dinyatakan," katanya dalam kenyataan media laporan harian COVID-19, pada Khamis.

Sementara itu, satu kluster baharu yang dinamakan Kluster Jalan Tunku Kota Kinabalu telah dikesan pada hari ini.

"Kluster ini melibatkan kakitangan dan pekerja pembersihan Pejabat Lembaga Hasil Dalam (LHDN) Negeri Cawangan Kota Kinabalu.

"Kes indeks merupakan wanita, 66, kakitangan pembersihan di Tingkat 2 bangunan tersebut yang disahkan positif hasil saringan bergejala di Klinik Kesihatan Luyang, pada 23 April.

"Susulan kes itu, pasukan kawalan mengaktifkan aktiviti pengesanan kontak dan arahan ujian saringan COVID-19 juga telah dikeluarkan," ujarnya.

Setakat ini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 10 kes merangkumi tiga kes di Kota Kinabalu, empat kes di Papar, dua kes di Putatan dan satu kes di Penampang.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata sebanyak 69 kes baharu telah dicatatkan pada hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat, 13 kes saringan bergejala, 23 kes dari kluster sedia ada serta tujuh kes dari lain-lain kategori.