REMBAU: Projek Perkhidmatan Bas Luar Bandar Negeri Sembilan (RENTAS NS) yang diperkenal oleh kerajaan negeri akan memanfaatkan 70,000 penduduk Rembau dan Tampin sekali gus memperkasa sistem pengangkutan awam serta memudahkan pergerakan desa ke bandar.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata projek dengan peruntukan RM1 juta itu membabitkan laluan bukan komersial merangkumi 25 institusi pengajian dan sekolah serta 47 kawasan perkampungan, taman perumahan serta fasiliti kesihatan.

Beliau berkata semua laluan dipilih berdasarkan pandangan serta maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah dan tanah serta masyarakat setempat.

"Kerajaan negeri menerusi MARA Liner Sdn Bhd iaitu anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperkenal Projek RENTAS NS yang mula beroperasi pada 16 Mei lepas dan difahamkan kira-kira 7,000 pengguna sudah menikmati kemudahan tersebut.

"Lapan unit bas midi baharu yang berkapasiti 30 penumpang disediakan bagi memenuhi perkhidmatan perjalanan ulang-alik di dua laluan Rembau dan Tampin," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran LED Billboard Daerah Rembau dan RENTAS NS Daerah Rembau dan Tampin di sini pada Rabu.

Aminuddin juga berkata perkhidmatan itu menggunakan sistem bayaran tambang secara tunai dan tanpa tunai selain caj yang berpatutan termasuk pengurangan separuh harga untuk warga emas serta pelajar.

Beliau berkata projek itu secara tidak langsung merancakkan ekonomi penduduk di sepanjang laluan baharu terbabit selain akan mempertimbang peluasan perkhidmatan ke daerah lain.

Bagi laluan di Rembau, perkhidmatan RENTAS NS akan bermula dari Kampung Cuai melalui Kampung Chembong Kechil, Sepri Pedas, Kundur sehingga ke Rumah Rakyat Linggi manakala satu lagi laluan ialah dari Kampung Senama Hilir Melalui Mampong, Kampung Pulau Mampat, Durian Daun, Pilin Paya Lebar Dalam dan Klinik Kesihatan Lubok China.

Laluan di Tampin pula akan bermula dari Kampung Keru melalui Kampung Batu Dalang, Kampung Gemencheh Lama, Felda Bukit Rokan, Kampung Felda Bukit Rokan Utara sehingga Klinik Kesihatan Bukit Rokan Utara manakala satu lagi laluan ialah dari Kampung Ladang, Kampung Ulu Ladang, Kampung Felda Bukit Rokan, Kampung Batang Rokan dan Kampung Gemencheh Lama.

-- BERNAMA