Kerajaan Persekutuan akan menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir bernilai RM30 juta untuk Bandar Raya Miri yang dijangka siap sebelum penghujung 2016.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di peringkat persekutuan dan negeri telah diarahkan untuk memulakan projek itu secepat mungkin bagi memastikan projek yang telah diluluskan itu siap mengikut jadual.

"Kami berharap sebaik sahaja projek itu siap (masalah) kawasan yang dilanda banjir kilat seperti Piasau Garden, Ecopark, Piasau Utara dan Kampung Luak akan dapat diselesaikan hujung tahun ini," beliau memberitahu wartawan selepas mendengar taklimat projek tebatan banjir daripada JPS di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata kementerian telah bersetuju daripada segi prinsipnya untuk melaksanakan projek melencongkan sungai untuk bandar raya ini bagi tujuan mengawal lebihan air dari Sungai Baram dengan kos yang dianggarkan mencecah RM100 juta.

"Ia akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 tetapi masa pelaksanaannya masih belum ditetapkan berikutan keadaan ekonomi sekarang dan berdasarkan penemuan JPS banjir kilat yang melanda

Bandar Raya Miri bukan disebabkan oleh air pasang besar dari sungai atau musim angin monsun, justeru
masalah itu tidak kritikal dan boleh dilaksanakan kemudian," katanya.