KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh telah secara sukarela memberi laluan untuk abangnya, Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh menyertai Kabinet.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, menjelaskan bahawa Ramkarpal berpendapat adalah tidak sesuai untuk dua bersaudara berada dalam barisan kepimpinan tersebut.

Menurut Loke, Ramkarpal mengosongkan jawatannya itu untuk mengelakkan kritikan dilemparkan terhadap parti itu.

"Jadi, tidak ada isu nepotisme di sini. Beliau memberikan laluan dari segi (menduduki jawatan Kabinet) kerana saudara Gobind yang merupakan abangnya dilantik sebagai menteri penuh.

"Maka beliau secara sukarela memberikan laluan dan mengosongkan jawatannya.

"Jadi, itu merupakan semangat yang saya rasa amat penting dan parti juga merakamkan penghargaan di atas pengorbanan beliau,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP pada Selasa.

Sebelum itu, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet dengan menyaksikan beberapa muka baharu dilantik sebagai menteri.

Anwar mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Gobind kembali menjawat jawatan menteri.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II.

Gobind pernah berkhidmat sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam pentadbiran Pakatan Harapan di bawah bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dari tahun 2018 hingga 2020.