SHAH ALAM: Seorang rakyat Malaysia berasal dari Pakistan, Datuk Mohammad Tahir Rahat meminta bantuan Wisma Putra berhubung keselamatan keluarganya selepas kediaman mereka di negara berkenaan dihujani peluru oleh sekumpulan mafia tempatan baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan seorang ahli perniagaan di Malaysia berkata, serangan mafia tersebut berpunca daripada tindakan kumpulan itu yang mahu merampas tanah miliknya yang diwarisi sejak turun temurun di daerah Hisari Nehri, Pakistan.

“Pada Ahad lalu, sekitar 200 orang mafia lengkap bersenjata melepaskan tembakan ke arah menara peninjau rumah saya sekitar jam 7 pagi. Dalam kejadian itu menyebabkan saya juga terpaksa berbalas tembakan dengan mereka.

“Kejadian itu berlarutan sehingga jam 8.30 pagi, itu pun setelah pihak polis tiba. Namun, kedatangan mereka hanya menyuraikan tembak menembak bukan menghentikan kegiatan mafia berkenaan.

“Kumpulan mafia itu kini telah merampas tanah milik saya buat masa sekarang dan mereka juga telah membina tembok pengadang serta menara peninjau di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ujar beliau, mafia tersebut pada hari yang sama bertindak menutup semua jalan keluar masuk ke rumahnya itu dari jam 7 pagi hingga 7 petang supaya tiada bantuan dapat diberikan.

Mohammad Tahir yang berasal dari Pakistan telah berhijrah ke Malaysia bagi memulakan kehidupan baharu pada sekitar akhir 1980-an dan berjaya mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Pada tahun 2016, Mohammad Tahir juga dinobatkan Anugerah Panglima Jasa Negara (PJN) oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah atas penglibatan aktif dalam misi kemanusiaan antarabangsa di Myanmar dan juga Kashmir.

Beliau juga aktif dengan kegiatan bersama badan bukan kerajaan termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Walau bagaimanapun, pada sekitar tahun 2020, beliau kembali semula ke Pakistan setelah mendapat tahu mengenai cubaan untuk mengambilalih tanah miliknya oleh waris di negara berkenaan secara tidak sah.

Jelas Mohammad Tahir, meskipun begitu, beliau kemudiannya terus memperjuangkan perkara tersebut sehingga ke peringkat mahkamah tertinggi dan berjaya.

Bagaimanapun katanya, warisnya di Pakistan telah mengambil tindakan secara haram dengan menjual tanah milik beliau kepada sekumpulan mafia di sana.

“Mereka bertindak berusaha merampas tanah saya sekarang ini sehingga sanggup menyerang kediaman saya.

“Ketika ini, mereka telah mengawal tanah tersebut dan menempatkan orang suruhan berdekatan dengan jarak 50 ke 100 meter dari rumah saya dan ini merupakan satu ancaman keselamatan kepada saya dan keluarga.

Jelas Mohammad Tahir, meskipun telah diadukan kepada pihak berkuasa di sana, namun tiada sebarang tindakan yang diambil.

“Saya telah melaporkan hal ini sehingga kepada Ketua Polis Pakistan. Walaupun dengan campur tangan daripada Kedutaan Malaysia, dia sekadar bertindak menyerahkan perkara tersebut kepada ketua polis daerah.

“Namun tiada apa-apa yang dilakukan oleh pihak ketua polis daerah berkenaan,” dakwa beliau.

Pada ketika ini, Mohammad Tahir bersama dengan isterinya masih berada dirumah tersebut bagi mempertahankan rumah mereka.

Beliau kini sedang berjaga-jaga di kawasan kediamannya itu bersama pasangan, Datin Shaista bagi mengelakkan sebarang rampasan terhadap hak mereka itu berlaku. - Sinar Harian