GEORGE TOWN: Dua lelaki dan seorang wanita dipercayai satu keluarga mengalami sesak nafas apabila kediaman didiami mereka terbakar dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam Isnin.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zaini Zainuddin berkata, kedua-dua lelaki terbabit berusia lingkungan 40-an manakala wanita berusia 66 tahun.

Menurutnya, kejadian berlaku di sebuah flat di Jalan Semarak Api I, Medan Angsana, Ayer Itam di sini.

"Bagaimanapun ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka setakat ini stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Zaini berkata, kebakaran terbabit melibatkan sebuah rumah flat kelas A dengan anggaran keluasan 9.1 x 7.6 meter persegi.

"Anggaran kemusnahan adalah 60 peratus manakala kerja-kerja pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela dan balai berhampiran. Seramai 21 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman itu.

"Kita telah membuat 'size up' dan menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman serta penyelamatan. Kebakaran dapat dikawal pada jam 10.34 malam dan api padam sepenuhnya pada 10.45 malam," katanya.

Tambahnya, pasukan bomba telah menjalankan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan tiada faktor bahaya lain dan operasi ditamatkan pada 11.17 malam sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasatan kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya. - Sinar Harian