Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) berjaya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Paroi.

Aksi pada babak yang pertama perlawanan kelihatan kekal seri tanpa jaringan apabila beberapa peluang yang dimiliki oleh penyandang juara Liga Super JDT gagal disempurnakan oleh pemain.

Kapten pasukan ATM, Hairuddin Omar yang beraksi di bahagian tengah dalam perlawanan ini sememangnya memainkan peranan yang penting bagi memastikan The Gladiators tidak dibolosi pasukan lawan.

Amri Yahyah memiliki peluang yang terbuka untuk menjaringkan gol, namun hantaran yang kemas daripada Luciano Figuero gagal disempurnakan oleh penyerang kelahiran Selangor itu.

Hujan yang semakin lebat di Stadium Paroi memaksa kedua-dua pasukan mengubah rentak permainan di babak yang kedua perlawanan.

Jaringan gol akhirnya tiba buat JDT pada minit ke-69 menerusi pemain gantian Safee Sali yang menggantikan Jasazrin Jamaluddin.

ATM dan JDT terus saling membalas serangan namun perlawanan kekal dengan satu gol sehingga wisel penamat.

Tiga mata yang dibawa pulang oleh JDT meletakkan mereka di tangga pertama Liga Super selepas Pahang tewas 4-2 kepada Lions XII di Jalan Besar.