ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan Human Rights Watch  bahawa terdapat lebih 1,400 kanak-kanak ditahan di 20 depoh tahanan imigresen di seluruh negara.

Saifuddin juga menegaskan beliau mengetahui jumlah tepat kanak-kanak di setiap depoh dengan sebahagian mereka telah dipindahkan ke Baitul Mahabbah bagi penjagaan yang lebih baik.

Beliau turut mempersoalkan kredibiliti sumber yang dipetik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

"Apakah sumber mereka? Di mana insiden yang dikatakan ini berlaku? Di mana insiden ini dilaporkan?

“Mereka (The Human Rights Watch) tidak boleh begitu sahaja (membuat tuntutan), kita ada 19 depoh imigresen dan saya tahu dengan tepat jumlah kanak-kanak di setiap depoh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Kedah di Anak Bukit, di sini.

Saifuddin menjelaskan, lokasi sebenar depoh imigresen yang terlibat dalam dakwaan itu perlu dinyatakan bagi tindakan sewajarnya diambil.

"Mereka perlu nyatakan depoh imigresen mana, sama ada di Semenyih atau KLIA. Sila berlaku adil dan berikan butiran untuk kami mendapatkan maklumat tepat," ujar beliau lagi.

Beliau mengulas laporan media pada Rabu yang memetik The Human Rights Watch mendakwa seramai 1,467 kanak-kanak telah dikurung di 20 pusat tahanan imigresen di seluruh negara setakat September lalu.

Menurut NGO itu, kanak-kanak di depoh antara lain menghadapi penderaan, termasuk penafian rawatan perubatan, makanan yang tidak mencukupi dan keadaan yang tidak baik.

NGO itu juga mendakwa, dua pertiga daripada kanak-kanak yang ditahan tidak ditemani atau dipisahkan daripada keluarga mereka dan kadang-kadang dihantar pulang ke negara asal mereka bersendirian.

Sementara itu, Saifuddin berkata, tidak berlaku sebarang kesesakan di depoh imigresen.

"Pada masa ini terdapat 19 depoh dengan 13,000 penghuni. Di manakah kesesakan? Tidak ada," ujar beliau.

Tambahnya, warga asing yang ditahan di depoh imigresen menjalani pengesahan dokumen dan mereka yang mempunyai dokumen sah dibebaskan.

"Pada masa ini, terdapat banyak serbuan, tetapi setelah dianalisis, kami mendapati kira-kira 80 peratus tahanan didokumenkan dengan baik dan hanya kira-kira 20 peratus adalah tidak sah dan mereka ditahan.

"Jika dokumen mereka sah, kami membebaskan mereka," katanya lagi.