KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) menantikan pengumuman lebih lanjut dari kerajaan untuk pakej sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memandangkan kebanyakan daripada mereka sudah mula terdesak selepas memiliki simpanan untuk satu bulan lagi sahaja.

Pengerusi Dasar dan Perhubungan Kerajaan Samenta, Datuk William Ng memberitahu ada PKS, hanya mempunyai simpanan untuk bertahan sebulan sahaja lagi bagi membayar gaji, sewa dan utiliti.

"Kita menyeru semua ahli dan PKS lain untuk mematuhi SOP yang lebih ketat ini, serta membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah, dan jika ini tidak dapat dilaksanakan, cuba pastikan protokol jarak keselamatan dan fizikal diadakan" katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu sebagai respons kepada keputusan kerajaan bagi penguatkuasaan SOP PKP yang lebih ketat.

Samenta sekali lagi menggesa kerajaan untuk menggerakkan kerajaan negeri dan sektor swasta dalam program imunisasi nasional.

"Kemudahan yang ada pada kerajaan negeri dan sektor swasta boleh digunakan bagi mempercepatkan pendaftaran dan inokulasi berikutnya, sebaik sahaja bekalan vaksin tempatan dipenuhi semula," katanya.

-- BERNAMA