PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dipanggil berhubung dakwaan rasuah lebih RM6 juta yang dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Pengarah Kanan Siasatan, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya kini di peringkat akhir bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah  itu.

Justeru, katanya, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dipanggil bagi melengkapkan siasatan berkenaan.

“Bagi melengkapkan kertas siasatan ini juga, SPRM telah memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM pagi ini,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Hishamuddin bagaimanapun berkata, butiran terperinci berkaitan siasatan tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia mengandungi maklumat sensitif dan rahsia.

Kes rasuah membabitkan KFA dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek-projek di negeri itu.

Siasatan mendapati mereka dijanjikan projek pembinaan dan perkhidmatan sebagai balasan sekiranya menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak terbabit.

Namun selepas dana disalurkan ke akaun persatuan bola sepak berkenaan, mereka tidak menerima sebarang projek sebagaimana dijanjikan individu terbabit.