KUCHING: Sarawak akan menubuhkan Pihak Berkuasa Pelancongan Tasik dalam tempoh lima tahun bagi tujuan mengawal selia pembangunan aktiviti pelancongan di tasik-tasik dalam negeri, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Openg.

Beliau berkata tasik buatan manusia yang diwujudkan susulan pembinaan empangan di Sarawak merupakan sumber air yang boleh dijadikan tarikan pelancong.

"Sebenarnya terdapat tiga sumber tenaga daripada empangan kita. Yang pertama adalah elektrik hidro, kedua ladang solar dan ketiga ialah hidrogen itu sendiri. Dari situ kita boleh bangunkan sektor perkhidmatan kita," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Industri Ketua Menteri Sarawak 2021 di sini.

Sementara itu Abang Johari mengulangi tekad beliau untuk merealisasikan hasrat bagi memastikan Sarawak memiliki syarikat penerbangan sendiri seperti yang dijanjikan sebelum ini, kerana menurutnya ini akan mewujudkan kesalinghubungan yang mudah dalam negeri di samping memberi impak yang baik kepada ekonomi.

Beliau berkata selepas memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 Disember lepas, beliau telah mewujudkan kementerian baharu yang memberi tumpuan kepada tenaga dan kelestarian alam sekitar kerana menyedari aspek kepentingan mengurus ekonomi di tengah-tengah kebimbangan global mengenai perubahan iklim.

"Kita ingin mengambil bahagian dalam perkara ini (pembangunan mampan), persoalan mengurangkan pelepasan karbon dan mempunyai persekitaran yang bersih ke arah ekonomi hijau," tambahnya.

-- BERNAMA