Kerajaan negeri Sarawak bersetuju sekiranya cadangan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam dikuatkuasakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata demikian sebagai reaksi kepada Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Jelasnya, kajian saintifik menunjukkan pencegahan jangkitan wabak COVID-19 adalah lebih efektif dengan pemakaian pelitup muka.

“Kita menyokong dan bersetuju dengan cadangan yang diusulkan Perdana Menteri kerana dengan pemakaian pelitup muka, ia membantu mencegah penularan jangkitan.

“Bagaimanapun kita akan menunggu keputusan selanjutnya daripada kerajaan Persekutuan namun kita (JPBNS) tetap menasihatkan orang ramai untuk sentiasa menggunakan pelitup muka,” ujarnya.


Terdahulu Muhyiddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam di negara ini.

Tambahnya, perincian mengenai perkara tersebut akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.