KUALA LUMPUR: Kumpulan rock antarabangsa terkenal Muse bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur 29 Julai depan.

Menjadikan Malaysia satu-satunya lokasi persinggahan di Asia, konsert Muse ‘The Will Of The People Tour 2023’ dijangka menarik ramai peminat dari Asia Tenggara dan Australia.

Ketua Pegawai Eksekutif Penganjur Hello Universe Adam Ashraf memaklumkan pihaknya menjangka kehadiran antara 60,000 hingga 100,000 penonton bakal menyaksikan konsert berkenaan.

“Kami menunggu hampir lima bulan untuk mereka bersetuju selain mengadakan perbincangan dengan wakil pengurusan Muse di London sebelum ini,” katanya.

Menurut Adam, lokasi konsert akan diberitahu dalam masa terdekat.

Tiket Pra Jualan boleh didapati bermula 2 Mac ini bermula jam 10 pagi manakala tiket yang dijual kepada awam bermula 3 Mac jam 10 pagi.

Kumpulan dianggotai Matthew Bellamy, Chrispoher Wolstenholme dan Dominic Howard pernah membuat persembahan di Kuala Lumpur pada tahun 2017.