ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ada pihak yang tidak senang apabila namanya ‘popular’ di media sosial khususnya TikTok.

Beliau berkata, tindakannya mendekati pelbagai lapisan masyarakat menerusi TikTok kebelakangan ini bukan menjadi suatu kesalahan selagi tidak menyalahi perundangan atau agama.


Beberapa carian mengenai Muhammad Sanusi menyanyi live yang dipaparkan pada laman TikTok.


Menurutnya, adalah tidak salah untuk memanfaatkan setiap ruang khususnya media sosial kerana ia mempunyai pengaruh yang besar.

“Saya menyanyi secara ‘live’ di awal pagi dalam TikTok dijadikan isu.

"Ia perkara remeh saja jika dibandingkan isu Ashabul Kahfi (pemuda al-Kahfi) yang dikaitkan dengan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan netizen pro Kerajaan Perpaduan sengaja mencetuskan isu remeh berkaitan dirinya bagi menutup isu yang lebih besar.

“Musuh politik ambil kesempatan edit bahagian tertentu video tersebut dan sebarkan dengan meletakkan caption panas, seperti berhibur sampai pagi, karaoke dengan bini orang, tarbiyah ulama Pas tahajud cinta, banyak lagi... saya baca semua komen itu.

“Saya akur saja pandangan mereka. Sebab ia dijadikan isu untuk tutup isu Ashabul Kahfi, itu saja tujuan mereka,” ujarnya.

Menurutnya, ada pihak yang gusar apabila beliau berjaya menembusi pasaran sebesar TikTok yang mempunyai pengikut yang ramai.

“Kalau tak ada kesan apa-apa, mereka tak akan peduli, pasaran ‘live’ ada jutaan pengikut.

"Tak ada parti, tak adalah pemimpin. Siapa yang berani masuk ‘alam’ itu akan ada hasilnya, kalau ada orang lain boleh masuk, silakan,” katanya.

Sanusi menjelaskan, pemilik akaun TikTok tersebut yang merupakan seorang wanita telah lama mengendalikan segmen tersebut dan beliau dijemput sebagai tetamu mengikut masa ditetapkan.

“Mana ada orang buat ‘live’ untuk tarik pengikut atau pendengar pada waktu pagi atau tengah hari, biasa waktu lewat malam.

“Saya nyanyi berseorangan, bukan berduet dengan dia. Saya berpandangan lelaki menyanyi tidak haram.

"Malah sepanjang sesi tersebut, saya ditemani isteri dan anak sulung, (mereka) di belakang tabir,” ujarnya.

Jelasnya lagi, selaku pengarah pilihan raya, pelbagai pendekatan digunakan secara meluas untuk memperoleh sebanyak mungkin pengaruh dan sokongan untuk memenangi pilihan raya.

“Selagi tidak haram saya akan buat. Kalau kita ada pengaruh yang besar, lebih mudah raih pengikut di mana sahaja.

"Jadi gunakan apa saja medium yang ada, jangan simpan buat pekasam,” katanya.

Sanusi turut menitipkan pesanan kepada golongan ustaz agar terus mendekati masyarakat khususnya anak muda untuk membimbing mereka.

“Ustaz-ustaz buat lah kerja membimbing orang yang kita tarik untuk mendekat dengan kita, jangan saling tidak faham lalu saling mengecam.

"(Sehingga) tinggallah sekelompok yang akan pergi kepada benda-benda menyeronokkan di sebelah sana,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pendakwah selebriti membuat teguran terbuka terhadap Sanusi menerusi laman rasmi TikTok miliknya dengan memuat turun video.

Antara petikan video berkenaan, menasihati agar Sanusi menghentikan tindakannya yang gemar menyanyi secara ‘live’ di TikTok, kerana disifatkan kurang sesuai sebagai pemimpin parti Islam selain statusnya sebagai Menteri Besar Kedah. - Sinar Harian