SHAH ALAM: Sejumlah 25,000 liter bahan api disyaki jenis diesel bersubsidi berjaya diselamatkan daripada diseleweng di Serdang, Selangor.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, serbuan dibuat ke atas sebuah premis stor pada Selasa pagi berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan berkenaan.

Jelas Pengarahnya, Mohd Zuhairi bin Mat Radey, serbuan melibatkan tujuh anggota penguatkuasa KPDN hasil risikan selama dua minggu.

Serbuan berjaya menemukan dua individu dipercayai mempunyai hubungan urus niaga jual dan beli bahan api yang dirampas.

Kedua-dua mereka masing-masing lelaki warga tempatan berumur 52 dan 43 tahun itu kemudian ditahan bagi membantu siasatan.

Tindakan sitaan melibatkan kenderaan telah dilakukan terhadap sebuah lori tangki berisi bahan dengan anggaran jumlah 11,000 liter dan dua unit skid tank dengan anggaran 10,000 dan 4,000 liter.

Nilai sitaan melibatkan bahan api yang disita adalah melebihi RM53,000.

Selain itu peralatan/instrumen yang digunakan semasa aktiviti mengalih bahan api turut disita.

Anggaran nilai keseluruhan sitaan dalam kes ini mencecah RM300,000.

Kes disiasat disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, Seksyen 21, AKB 1961.