Selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi dalam satu sesi dialog di Rusila pada Jumaat, Presiden PAS Datuk seri Abdul Hadi Awang dilihat menyepikan diri daripada menghadiri program PAS sebanyak tiga kali berturut-turut.

Meskipun dijadual membuat ucapan penggulungan di Ijtimak PAS Selangor hari ini, Abdul Hadi tidak kelihatan di majlis tersebut serta digantikan dengan Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebelum itu, beliau dilaporkan tidak hadir dalam program PAS di Bangi pada Sabtu malam, dan juga Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, pagi tadi.

Difahamkan Abdul Hadi kini berada di luar negera untuk urusan tertentu.

Abdul Hadi pada Jumaat berkata bahawa PAS tidak menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu kerana beliau (Wan Azizah) tidak berkebolehan.

Katanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu ditolak bukan disebabkan isu gender, tetapi syarat lantikan seorang pemimpin mestilah yang mempunyai kebolehan.

Kenyataan Abdul Hadi itu telah menimbulkan rasa kurang puas hati dari beberapa pihak, terutama sekali sekutu mereka daripada Pakatan Rakyat, iaitu PKR.

Ketua Penerangan Wanita PKR, Azura Aziz dalam responnya telah menyoal integriti Abdul Hadi dalam pemilihan calon MB Selangor.

Memetik laporan sebuah portal berita, Azura berkata, sepatutnya tidak timbul persoalan dalam pemilihan Wan Azizah sebagai calon dari parti tersebut (PKR).

Sementara itu Angkatan Muda Keadilan (AMK) dilaporkan kesal dengan kenyataan itu sambil menyifatkan ia sangat tidak wajar dan meminta agar Abdul Hadi menarik balik kenyataan tersebut.

Namun, kenyataan Abdul Hadi itu tetap mendapat sokongan dari beberapa pihak, antaranya Majlis Syura dan juga bekas Naib Presiden PAS, Datuk Dr Hasan Ali.

Majlis Syura Ulama PAS berpandangan, ia tidak mempunyai halangan untuk menyokong Wan Azizah sebagai MB Selangor jika beliau terbukti mempunyai kelayakan dan berpengalaman bagi memikul amanah itu.

Bagaimanapun Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, Wan Azizah tidak memiliki kriteria tersebut, sekali gus tidak layak memegang jawatan penting itu di Selangor.

Bagi Dr Hasan pula, beliau merasakan bahawa PKR dan DAP perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh PAS kerana ia berdasarkan pertimbangan yang dibuat berlandaskan Islam.

Selain itu, Dr Hasan berkata beliau tidak mahu jawatan tersebut diuruskan secara 'jarak jauh', iaitu dengan adanya individu tertentu yang menguruskannya di belakang tabir.