Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menegaskan semua pemeriksaan ke atas kapal dan bot penumpang mematuhi tatacara pemeriksaan yang ditetapkan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Laksamana Madya Datuk Mohd Zubil Mat Som hari ini.

Beliau berkata setiap pemeriksaan dilakukan secara berhemah dan mesra pelanggan bagi memastikan setiap operator kapal dan bot serta penumpang mengambil langkah-langkah keselamatan ketika melakukan sebarang aktiviti di laut.

Katanya, semasa pemeriksaan dilakukan, hanya kru bot layar terbabit sahaja yang dipanggil menaiki bot peronda milik APMM untuk penyerahan dokumen supaya aktiviti pelancong di atas bot layar itu dapat berjalan seperti biasa.

Pemeriksaan dilakukan secara sopan dan tertib dengan mengambil kira kehadiran pelancong asing dan sama sekali tiada sebarang bentuk kekerasan dilakukan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi) Datuk Alexandar Isac mendakwa pemeriksaan penguatkuasaan ke atas kapal siar menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelancong dan boleh menjejaskan kedatangan pelawat ke Langkawi.

BACA: Niagakawi dakwa pendekatan Maritim Malaysia takutkan pelancong

Mengulas lanjut, Mohd Zubil berkata pemeriksaan rambang dilaksanakan dari semasa ke semasa dan setiap pemeriksaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang mengambil kira kepentingan keselamatan dan kemesraan pelanggan termasuk pelancong asing berdasarkan aduan dam maklumat orang ramai.

Mohd Zubil berkata pihaknya memandang serius dakwaan Niagakawi, namun sehingga ini, Maritim Malaysia belum menerima aduan atau cadangan daripada Niagakawi berhubung perkara ini serta mengalu-alukan Persatuan itu ke pejabatnya bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan.

"Maritim Malaysia telah menyediakan pelbagai saluran khas bagi menerima aduan atau cadangan untuk memperbaiki lagi mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan rakyat.

Mohd Zubil berkata sebanyak 17 pemeriksaan telah dilakukan di perairan Kedah dan Langkawi, dan satu daripada bot layar di bawah pendaftaran Langkawi International Yatch disyaki telah melakukan beberapa kesalahan melibatkan pelesenan dan keselamatan penumpang di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 pada tahun ini.

-- BERNAMA