PUTRAJAYA : Wilayah Persekutuan Putrajaya menyaksikan pertambahan lebih 4,000 pelajar merangkumi murid prasekolah, sekolah rendah dan menengah dengan jumlah 39,162 bagi sesi akademik 2024/2025 hari ini.

Ia berbanding 35,147 pelajar bagi sesi akademik 2023/2024.

Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ezaiddin Hussain berkata, jumlah itu membabitkan seramai 1,051 murid prasekolah, 23,096 murid sekolah rendah dan 15,015 pelajar sekolah menengah.

"Bagi sekolah rendah aliran prasekolah, bagi aliran perdana seramai1,021, Program Pendidikan Khas Intergasi (PPKI) seramai 30 orang jadi jumlah prasekolah yang masuk hari ini adalah 1,051.

"Manakala bagi tahun satu bilangan pelajar adalah 3,539, murid PPKI tahun satu adalah 559 dengan jumlah keseluruhan sekolah rendah tidak termasuk prasekolah ialah 23,096.

"Keseluruhan termasuk prasekolah adalah 24,147 orang manakala bagi sekolah menengah dan ini paling kritikal perlu diselesaikan dengan baik bagi tingkatan satu adalah 3,378, PPKI pula 360 jadi jumlah keseluruhan 15,015," katanya dalam AWANI Pagi pada Isnin. 

AWANI Pagi: Usaha meningkatkan sistem pendidikan

Susulan peningkatan jumlah tersebut, jelasnya tahun ini hampir 47 kelas dibuka merangkumi prasekolah, PPKI, dan tingkatan satu. 

Mengulas lanjut, Ezaiddin berkata, pelbagai aktiviti serta program menarik telah dirancang oleh guru-guru di setiap sekolah pada minggu pertama persekolahan tanpa proses pembelajaran.

Menurutnya, pelaksanaan pendekatan sedemikian bukan sahaja dapat memangkin semangat murid-murid untuk terus hadir ke sekolah pada minggu berikutnya, malah turut membentuk disiplin diri.

Untuk rekod, seramai 1.44 juta murid dan pelajar terdiri daripada Kumpulan A melibatkan Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah memulakan sesi persekolahan 2024/2025 pada Ahad. 

Manakala seramai lima juta murid serta pelajar mengikuti sesi persekolahan 2024/2025 dengan Kumpulan B akan memulakan sesi akademik hari ini.