Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menepis desas-desus beliau akan bertanding kerusi Parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepong, menyifatkan cakap-cakap itu seperti tidak masuk akal kerana Anggota Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merupakan pemimpin UMNO yang berwibawa dan amat mengambil berat tentang warga Wilayah Persekutuan.

"Saya sudah kata, hentikan spekulasi tentang siapa jadi calon di mana. Tugas saya sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) adalah menentukan jentera wanita mantap. Isu siapa jadi calon di kawasan mana itu kita serah kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jualan Sentuhan Rakyat 2018 di Padang Bola Sepak Jinjang Utara, Kepong hari ini.

Selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Shahrizat berkata beliau hanya boleh mencadangkan nama calon Wanita dan bukan kawasan bertanding bagi calon tersebut.

Beliau sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor susulan "jemputan'' berbuat demikian yang disuarakan Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

-- BERNAMA