KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad telah mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan kepada Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim bahawa representasi tersebut telah difailkan oleh pihak pembelaan pada Selasa lepas (2 Mei).

Sementara itu, peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, berkata pihaknya memohon maaf kepada mahkamah kerana baru sahaja memfailkan representasi itu pada 2 Mei berikutan terdapat beberapa dokumen perlu diselesaikan.

"Pihak kami memohon maaf kepada mahkamah dan tidak mahu mahkamah menganggap pihak pembelaan melambatkan pemfailan representasi itu.

"Kami mohon satu tarikh ditetapkan awal Julai ini untuk mengetahui keputusan representasi berikutan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut," katanya ketika sebutan kes itu hari ini.

Majistret Atiqah Mohamed kemudian menetapkan 10 Julai ini untuk mengetahui keputusan representasi tersebut.

Pelakon drama bersiri 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.

Sharnaaz dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika ditemui media, selepas prosiding, Abu Bakar berkata representasi itu telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 2 Mei lalu.

Sementara itu, Sharnaaz berkata pihaknya akan cuba menyelesaikan kes sebaik mungkin dan sekiranya tiada penyelesaian, beliau bersedia untuk perbicaraan.

-- BERNAMA