CYBERJAYA: Hanya empat daripada 1,091 premis di Selangor yang diperiksa menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sepanjang tahun ini, dikenakan tindakan setakat ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Khairi Jamaludin berkata ia jelas menunjukkan kadar pematuhan tinggi peniaga di negeri ini terhadap peraturan ditetapkan semasa perayaan Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Deepavali lepas.

"KPDN Selangor yakin prestasi pematuhan peniaga sepanjang SHMMP sempena Krismas yang berkuat kuasa hari ini hingga 27 Dis ini juga berupaya mencapai sifar kesalahan," katanya kepada media selepas menjalankan pemeriksaan pematuhan SHMMP sempena Krismas di sebuah pasar raya di sini semalam.

Pada masa sama, berdasarkan pemeriksaan pihaknya, Mohd Khairi berkata bekalan gula dan minyak masak di Selangor adalah terkawal buat masa ini.

Beliau berkata KPDN Selangor akan mempertingkatkan keberadaan anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan bagi mewujudkan persekitaran urus niaga yang harmoni dan beretika, selain akan terus melakukan pemeriksaan berkala sebagai usaha memastikan tiada aktiviti sorokan bekalan minyak masak dan gula.

-- BERNAMA