Berikut adalah senarai nama pemimpin pembangkang dan aktivis yang dihalang;
1. Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua
Tony Pua adalah antara pemimpin pembangkang yang tidak dibenarkan keluar dari negara.
Menurut Tony Pua, dia dihalang oleh pihak Imigresen di KLIA2 pada 22 Julai lalu ketika mahu menaiki pesawat yang dijadualkan ke Yogyakarta.
Pua berkata halangan tersebut mungkin berpunca daripada kritikannya terhadap 1MDB, namun beliau menuntut alasan sebenar halangan itu daripada pihak yang bertanggungjawab.
Pua adalah seorang daripada pemimpin pembangkang yang lantang mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan agensi tajaan kerajaan, 1MDB yang kini didakwa menanggung hutang besar.
Dia juga dinamakan bekas wartawan Sarawak Tribune, Lester Melanyi dalam dakwaannya mengenai pemalsuan dokumen disiarkan Sarawak Report.
2. Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli
Difahamkan, selepas Rafizi dimaklumkan tentang halangan meninggalkan negara yang dikenakan Tony Pua atas penglibatannya mendedahkan skandal 1MDB, Rafizi kemudian menyemak statusnya di laman Jabatan Immigresen Malaysia.
“Susulan itu, saya telah menyemak status saya di laman web Jabatan Imigresen Malaysia dan mendapati status senarai hitam saya adalah sama seperti status Saudara Tony Pua," katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Malah, Rafizi juga salah seorang pemimpin pembangkang yang sering bersuara mengenai isu 1MDB.
3.Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan
Peguam Datuk S. Ambiga juga turut disenaraihitamkan oleh Jabatan Immigresen Malaysia. Bagaimanapun, beliau kemudian mendapat tahu bahawa beliau bebas ke luar negara dan cuma dihalang daripada memasuki Sabah dan Sarawak.
Perkara itu diketahuinya selepas berkunjung ke pejabat Jabatan Imigresen pagi semalam.
"Mereka maklumkan saya, saya bebas ke luar negeri. Larangan itu mungkin berkait pergi ke Sabah dan Sarawak.
"Tidak masuk akal jika mereka yang perlu berhadapan tindakan undang-undang bebas ke mana-mana sahaja sementara mereka yang bersuara menentang salah guna kuasa diganggu sebegini," katanya kepada The Malaysian Insider.
4. Pemilik The Edge Media, Datuk Tong Kooi Ong
Malah, pemilik The Edge Media Group Tong Kooi Ong, juga turut dikenakan larangan yang sama, lapor media.
Difahamkan, syarikat itu menerbitkan The Edge Financial Daily dan The Edge Weekly, yang melaporkan kontroversi 1MDB secara meluas sejak akhir-akhir ini.
Tong Kooi juga turut dilapor berhubung dengan bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) , Xavier Andre Justo.
5. Aktivis Maria Chin Abdullah
Maria Chin juga antara aktivs yang tidak dibenarkan untuk keluar dari negara dan beliau juga menuntut Jabatan Imigresen menjelaskan sebab namanya tersenarai.
"Buat masa sekarang, saya mahu tahu sebab saya perlu rujuk imigresen bagi perjalanan saya.
"Sebagai warganegara, saya ada hak dan kebebasan bergerak keluar masuk negara saya," katanya.
6. Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua
Tian Chua di Twitter hari ini berkata beliau telah dihalang daripada memasuki Sabah, Sarawak dan Singapura.
Chua berkata pihak berkuasa perlu mewajarkan senarai hitam perjalanan itu.
“Perkara ini memang ‘tidak masuk akal" kerana kontroversi 1MDB tidak dapat diselesaikan, manakala aktivis sosial dan orang-orang yang mempunyai pandangan kritikal menjadi sasaran,”katanya.
7. Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok
Bercakap kepada Malaysiakini, Kok berkata Wan Junaidi telah memaklumkan bahawa beliau boleh ke luar negara dan hanya dihalang untuk memasuki bahagian Malaysia Timur yang mana pihak imigresen berautonomi di sana.
8. Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil
Akhbar The Star pula melaporkan, Pengarah Urusan SRC International,Nik Faisal Kamal Ariff yang dikaitkan dengan 1MDB, turut dihalang meninggalkan negara.
Nik Faisal disiasat berhubung tuduhan aliran wang berjumlah RM2.6 bilion ke dalam akaun bank milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
9. Aktivis Hishamuddin Rais
Gerakan aktivis Hishamuddin Rais berkata, beliau mendapat tahu larangan tersebut dari sebuah laporan media.
Hishamuddin menyatakan bahawa beliau tidak faham sebab dia tidak dibenarkan untuk keluar negara, sambil menambah secara berjenaka mungkin beliau ditahan kerana komik menyindirnya.
Anda juga boleh menyemak status anda di laman web Jabatan Imigresen.