Skip to main content
Advertisement

Malaysia

SIDC perluas pemantauan penyakit ke kawasan luar bandar - Abang Johari

Abang Johari berkata inisiatif berkenaan turut menggunakan kemudahan makmal bergerak bagi membolehkan pemantauan kesihatan dilaksanakan di kawasan terlibat. - Foto fail/BERNAMA
Abang Johari berkata inisiatif berkenaan turut menggunakan kemudahan makmal bergerak bagi membolehkan pemantauan kesihatan dilaksanakan di kawasan terlibat. - Foto fail/BERNAMA

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri mempergiat usaha mengesan dan memantau penyakit dalam kalangan masyarakat luar bandar menerusi Program Pemantauan Penyakit (DSP) yang dilaksanakan oleh Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC).

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata program itu bertujuan mengenal pasti corak penyakit di sesuatu kawasan menerusi pengambilan dan analisis sampel, sekali gus membantu kerajaan merancang langkah pencegahan dan intervensi kesihatan yang lebih bersasar.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut menggunakan kemudahan makmal bergerak bagi membolehkan pemantauan kesihatan dilaksanakan di kawasan terlibat, termasuk Kampung Lubuk Bunting di Gedong yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar raya itu.

“Antara isu kesihatan yang diberi perhatian ialah jangkitan cacing dalam kalangan kanak-kanak, yang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan jika tidak dirawat, selain penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

“Program ini akan diperluas ke kawasan lain, termasuk Kuching dan Serian, berdasarkan keperluan serta corak penyakit yang dikenal pasti di setiap lokasi,”  katanya selepas merasmikan program itu di Gedong pada Ahad.

Abang Johari berkata pendekatan itu juga selaras dengan konsep One Health yang menekankan kepentingan kerjasama menyeluruh dalam menjaga kesihatan manusia, haiwan dan persekitaran.

“Selain mengesan penyakit, penyelidikan SIDC berpotensi meneroka sumber biodiversiti tempatan bagi pembangunan ubat-ubatan, sekali gus memperkukuh keupayaan penyelidikan kesihatan di Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement