KUALA LUMPUR: Sikap ahli politik yang sukar bekerjasama, tidak bertolak ansur antara satu sama lain dan melompat parti menjadi punca kerajaan yang mempunyai majoriti tipis sering mendapat gangguan politik serta Kerajaan Perpaduan sukar ditubuhkan.

Menurut Peguam Bela dan Peguam Cara, Yusfarizal Yusoff, sekiranya berlaku pertukaran kerajaan tanpa Pilihan Raya Umum (PRU), perkara yang sama juga kemungkinan berulang disebabkan tiada individu mahupun gabungan parti politik yang mampu membentuk majoriti besar.

“Sebenarnya kita telah ada peruntukan undang-undang yang baik yang boleh mencegah daripada kerajaan ini bertukar sesuka hati contoh saya bagi tadi ujian tahap majoriti perlu berlaku di Dewan Rakyat dan bukan melalui Surat Akuan Bersumpah (SD).

“Jadi ini adalah satu mekanisma untuk mencegah kerajaan bertukar saban hari tetapi masalah paling utama saya rasa ialah sikap ahli politik ini kalau bertelingkah itu mereka tidak boleh duduk bersama, tidak boleh melakukan perbincangan dan tidak boleh bertolak ansur menangani masalah rakyat,”  katanya dalam program AWANI Pagi, pada Jumaat.

BACA: Kerajaan belum tumbang jika tiada pihak menghadap Agong bentang SD majoriti - Peguam

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai gangguan politik yang berlaku sepanjang tempoh penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disebabkan majoriti yang tipis di Dewan Rakyat.

Tambah Yusfarizal, PRU pula sukar untuk dilakukan ketika ini susulan wabak COVID-19 yang melanda negara dan Yang di-Pertuan Agong berkemungkinan tidak akan memberikan perkenan untuk melaksanakannya sekiranya terdapat kebimbangan mengenai aspek keselamatan rakyat.

Justeru itu katanya, solusi yang terbaik ialah menubuhkan Kerajaan Perpaduan yang disertai oleh semua parti politik dengan membelakangkan agenda peribadi mahupun semangat kepartian demi membantu negara keluar daripada krisis COVID-19.

“Solusi yang terbaik mungkin dalam keadaan kerajaan tidak stabil, kerajaan tiada majoriti besar ialah cadangan Kerajaan Perpaduan sebab cadangan-cadangan lain seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dimana pentadbiran dalam kalangan orang awam yang profesional dan teknokrat ini cadangan yang tidak pernah berlaku dan memerlukan beberapa penelitian.

“Jika MAGERAN mungkin perlu diisytiharkan darurat sekali lagi untuk menggantung Parlimen, untuk mengantung kuasa Eksekutif, melantik MAGERAN untuk mentadbir negara dan ini bukan satu senario yang mudah.

“Yang lebih mudah ialah duduk semeja setuju dan buat Kerajaan Perpaduan untuk sementara kita mengharungi badai COVID-19 untuk mencapai imuniti kelompok tetapi yang senang itu juga sangat sukar kerana sikap ahli politik,”  jelas beliau.

Sementara itu, Yusfarizal turut menyatakan bagi menangani masalah gangguan politik terhadap kerajaan dengan majoriti tipis berlaku, akta yang khusus bagi mencegah lompat parti perlu dilaksanakan.

Ini kerana aktiviti 'politik katak' itu menjejaskan kestabilan kerajaan dan menyukarkan perancangan sudut polisi pihak kerajaan bergerak ke hadapan untuk keluar daripada pandemik COVID-19.

“Ini saya katakan jika mereka boleh duduk bersama dan boleh menyelesaikan masalah rakyat maka saya kira idea Kerajaan Perpaduan yang pernah dimomokkan oleh sesetengah pihak boleh dilakukan.

“Kerajaan Perpaduan bermaksud bahawa kesemua parti yang ada dalam negara ini bersama-sama memerintah negara, mungkin kita bagi kementerian ini kepada DAP, kementerian ini kepada BN, kepada Pas dan sebagainya.

“Ini boleh berlaku sekiranya ahli-ahli politik boleh duduk semeja dan dalam senario hari ini tidak berlaku, apa yang berlaku ialah walaupun telah mampu dan boleh duduk semeja contohnya UMNO memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional pada asalnya tetapi pada akhirnya mereka keluar dan menarik sokongan dan ini sikap ahli-ahli politik kita yang saya kira perlu diubah dan perlu diperbetulkan,”  ujarnya.