Sindiket bangunkan aplikasi judi, bekal mesin slot tumpas - Bukit Aman

Kumar berkata polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk membangunkan platform perjudian dalam talian, mesin slot dan alat ganti mesin berkenaan bagi pasaran tempatan serta antarabangsa. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket membangunkan aplikasi perjudian dalam talian dan membekal mesin slot serta alat gantinya dalam serbuan serentak di tujuh premis sekitar Damansara dan Subang Jaya, dekat sini pada 9 Okt lepas.
Ringkasan AI
- PDRM menumpaskan sindiket membangunkan aplikasi perjudian dalam talian dan membekal mesin slot dalam serbuan di tujuh premis sekitar Damansara dan Subang Jaya, menahan 147 individu.
- Polis merampas pelbagai peralatan termasuk komputer, telefon bimbit, komponen elektronik dan mesin slot yang digunakan untuk operasi perjudian tanpa lesen sah.
- Sebanyak 133 individu akan didakwa atas kesalahan mempromosi perjudian, manakala tujuh warga asing disiasat kerana melanggar syarat permit.
Kumar berkata polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk membangunkan platform perjudian dalam talian, mesin slot dan alat ganti mesin berkenaan bagi pasaran tempatan serta antarabangsa.
Antara yang dirampas termasuk 139 unit komputer riba, telefon bimbit (182), monitor (126), kad akses (84), komponen elektronik (28), dokumen kerja (13), sembilan komputer peribadi, enam router, mesin slot dan peranti kawalan masing-masing lima, peranti visual dan audio serta modem masing-masing empat dan lesen perniagaan serta papan sesentuh elektronik masing-masing dua.
Kumar berkata hasil siasatan mendapati kesemua premis yang diserbu tidak mempunyai sebarang kebenaran sah daripada Kementerian Kewangan untuk menjalankan aktiviti membekal mesin judi, alat ganti dan membangunkan platform perjudian dalam talian serta mempromosi perjudian.
"Tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4B(a), 4B(b) dan 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953," katanya.
Beliau berkata Timbalan Pendakwa Raya telah bersetuju untuk mendakwa 133 individu yang ditahan atas kesalahan mempromosikan perjudian mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jahat jenayah.
"Tujuh warga asing turut dituduh atas kesalahan melanggar syarat pas atau permit masing-masing yang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Kumar berkata PDRM juga sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan lain di bawah undang-undang sedia ada seperti peruntukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
"PDRM memandang serius perkara ini dan sentiasa komited untuk memastikan undang-undang sentiasa terpelihara terutamanya dalam membanteras dan mengekang aktiviti perjudian dalam talian daripada semakin berleluasa.
"Di samping itu, PDRM menasihatkan agar orang ramai tidak terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian yang membawa banyak kesan buruk kepada masyarakat terutamanya dari segi aspek keruntuhan moral, psikologi dan masalah sosial serta menyeru orang ramai untuk sentiasa menyalurkan maklumat berkaitannya kepada PDRM," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


