JOHOR BAHRU: Satu sindiket yang aktif memperdaya golongan pencari kerja dengan menawarkan gaji lumayan untuk menjadi ahli scammer berjaya di kesan di Johor.

Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kegiatan itu berjaya dihidu Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa menghadiri temu duga dikendalikan sindiket berkenaan di sekitar bandaraya ini baru-baru ini.

Katanya, hasil siasatan yang dilakukan pihaknya berjaya menahan lima individu pada awal minggu ini bagi membantu siasatan.

"Sekarang ini ada sindiket yang menggunakan (memberi) peluang pekerjaan bila dipanggil temuduga dan sebagainya, diterima kerja dan dibawa ke satu tempat untuk menjadi scammer…  (sindiket ini) tak boleh lari, dalam tindakan kita,” kata beliau.

Kamarul Zaman berkata demikian ketika ditemui pada Program Pencegahan Jenayah dan Bual Bicara Ketua Polis Johor bersama pengusaha kilang serta wakil komuniti daerah Seri Alam, Pasir Gudang di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk rekod, sebanyak 1,242 kes penipuan pelbagai jenis dicatatkan di negeri itu sejak Januari hingga Selasa lalu.

Jelas Kamarul Zaman, jenayah itu turut merekodkan jumlah kerugian hampir RM139.3 juta sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, majoriti kes yang dilaporkan menggunakan platform media dan panggilan talian telefon sebagai modus operandi bagi sindiket penipuan.

"Kebanyakan scam yang berlaku di Johor sama sahaja (dengan) di seluruh negara…  scam yang ini semuanya melibatkan penipuan yang menggunakan elemen media iaitu media sosial dan sebagainya yang perlu dielakkan oleh masyarakat,” ujar beliau lagi.