Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluarkan sebanyak 78 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Slim, pada Ahad.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, pengeluaran kertas undi itu bermula jam 2.30 petang dan dijalankan oleh petugas pilihan raya di Pejabat Daerah dan Tanah Muallim di Slim River.

Menurutnya, kesemua 78 permohonan undi pos tersebut terdiri daripada 75 petugas kategori 1A iaitu 65 petugas pilihan raya dan 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua pengundi tidak hadir (PTH) luar negara dan satu bagi kategori Borang 1B (warga Malaysia yang berada di luar negara).

“Sebanyak 68 sampul keutamaan telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit manakala 10 lagi sampul keutamaan diambil oleh pegawai yang bertanggungjawab (PYB) PDRM untuk diserahkan kepada anggota PDRM yang telah memohon undi pos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil kepada calon Bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Katanya, proses pengeluaran kertas undi pos itu juga telah disiarkan secara live streaming di Facebook SPR bagi meningkatkan lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos, supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang pengisytiharan identiti (Borang 2) yang disertakan, serta segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK DUN N.58 Slim, Perak sebelum jam 5.00 petang pada hari mengundi iaitu pada 29 Ogos 2020 (Sabtu).

“Pengundi juga diingatkan agar tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.

“Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya,” ujarnya.