KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia susut 10.54 peratus kepada 1.50 juta tan pada Mac berbanding 1.67 juta tan yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam laporan prestasi industrinya bagi April 2023 berkata stok minyak sawit mentah (MSM) berkurangan 6.53 peratus kepada 833,677 tan pada April daripada 891,961 tan pada Mac.

Stok minyak sawit diproses merosot 15.11 peratus kepada 782,061 tan berbanding 663,858 tan sebelum ini.

Pengeluaran MSM juga menurun sebanyak 7.13 peratus kepada 1.20 juta tan pada April daripada 1.29 juta tan pada Mac, manakala pengeluaran isirung sawit turun 9.36 peratus kepada 293,454 tan daripada 323,743 tan.

"Eksport minyak sawit berkurangan 27.78 peratus pada April kepada 1.07 juta tan berbanding 1.49 juta tan yang disaksikan semasa Mac manakala eksport oleo-kimia jatuh sebanyak 15.22 peratus kepada 221,484 tan," katanya.

MPOB berkata eksport biodiesel pada April turun 86.79 peratus kepada 4,242 tan daripada 32,127 tan bulan sebelumnya, manakala eksport kek kernel sawit susut 11.93 peratus kepada 170,772.

Bagaimanapun, eksport minyak isirung sawit meningkat 4.91 peratus kepada 88,447 tan bagi April daripada 84,307 tan yang dicatatkan untuk Mac.

Tiada import MSM untuk April berbanding 5,895 tan yang direkodkan pada Mac, manakala jumlah import minyak sawit berkurangan 15.32 peratus berbanding 33,678 tan semasa bulan sebelumnya.

-- BERNAMA